Friday 7 April 2017

Pengeluaran Semula Piring Hitam Belenggu Irama - Rawk Habis!



Dalam beberapa minggu lepas, gelombang penerbitan semula album2 lama muzik tempatan telah dikejutkan oleh beberapa perbincangan alam maya mengenai kualiti penerbitan semula itu. Walaupun banyak yang memberi pendapat yang membangun tetapi ada juga yang berbaur menghina dan tohmahan. Pada pendapat saya, ini tidak seharusnya berlarutan di dalam industri muzik kita yang tidaklah sebesar mana. Apa yang merisaukan saya ialah pihak2 yang bertungkus lumus untuk membawa semula nostalgia muzik2 80-an dan 90-an dalam bentuk piring hitam mahupun juga cakera padat ini berpatah hati dan menghentikan perancangan untuk menerbitkan lebih banyak album2 lain. Secara peribadi, saya amat bersyukur kerana di zaman 80-an dan 90-an, saya tidaklah mampu untuk membeli CD atau LP. Kaset pun, terpaksa betul memilih kerana dalam setahun, saya hanya mampu menyimpan duit saku untuk membeli dua kaset sahaja. Saya lebih banyak berharap kepada Pilihan Bersama FM Stereo untuk memutarkan lagu2 kegemaran saya di mana saya akan merakamkannya ke dalam kaset kosong.

Namun, tahniah diucapkan kepada syarikat seperti Dream Studio yang terus berkhidmat untuk memberi peluang kepada peminat2 muzik tanahair untuk memiliki album2 kegemaran mereka dalam bentuk piring hitam atau CD. Yang terbaru dan hangat diperkatakan sekarang ialah penerbitan semula album Belenggu Irama oleh kumpulan Wings dalam bentuk piring hitam (LP). Bermula dari semalam 6 April hinggalah Ahad ini 9 April, keluaran terhad piring hitam album ini ada dijual di Istana Budaya bersempena Konsert Wings and Super Friends di sana.


Seperti juga album Hijau Zainal Abidin, saya telah diberi peluang untuk menilai Test Pressing album Belenggu Irama ini sebelum penerbitan semula secara keseluruhan. Keluaran semula kali ini telah dilakukan di negara Jerman. 
Inspirasi Taming Sari Edisi Pertama


Inspirasi Taming Sari Test Pressing

Semasa memutarkan lagu Inspirasi Taming Sari, terus saya dapat rasakan impak dari adunan semula album ini. Ianya lebih bertenaga daripada edisi pertama. Nada rendah atau bass lebih padu di mana pukulan deram Black jelas lebih jitu dan keras, menepati genre rock yang dibawa oleh Wings. Petikan gitar Sham juga sangat bertenaga dan berat. Vokal Awie walaupun tidak sebesar vokalnya sekarang, boleh dikatakan lebih jelas daripada edisi pertama. Bergantung juga kepada kartrij yang digunakan, edisi ini juga memberi peluang kepada pendengar untuk menikmati pementasan audio yang lebih luas berbanding dengan edisi pertama di mana bunyi agak tertutup tetapi fokus.


Biarkan Berlalu TP

Pengalaman yang sama saya alami apabila memutarkan lagu Biarkan Berlalu. Pementasan audio yang luas memberikan kepuasan seperti menonton Wings secara live. Ia berjaya menyampaikan suasana audio yang lebih menyeluruh dan emosi genre rock balada ini dapat saya menjiwainya dengan lebih kepuasan. Dapat saya rasakan semula perasaan saya pertama kali mendengar kaset Belenggu Irama di era 80-an. Setiap alat muzik dan vokal sememangnya timbul secara seimbang dan tiada satu elemen yang ditenggelami oleh elemen lain. 

Secara keseluruhannya, agak puas hati saya mendengar Test Pressing ini. Ianya mngkin masih belum mencapai tahap audiophile tetapi sememangnya ada elemen peningkatan dapat didengar pada keluaran semula ini berbanding dengan edisi pertama. Kekuatan lebih kepada nada audio seimbang dan bass yang lebih padu. Mungkin juga ada pendengar yang akan mengatakan nada tinggi atau treble nya agak tinggi tapi ini mungkin lebih bergantung kepada sistem masing-masing. Untuk peminat Wings, melainkan anda mahukan edisi pertama yang boleh mencecah RM1,000 di pasaran online, LP keluaran semula ini harus menjadi sebahagian daripada koleksi anda. Kualiti bunyinya walaupun subjektif kepada setiap pendengar, ianya masih jauh lebih menghiburkan berbanding dengan kaset rakaman saya daripada Pilihan Bersama FM Stereo. 

LP ini boleh dibeli di Istana Budaya sehingga 9 April ini pada harga RM175. Sebahagian dari harga jualan akan disalurkan kepada badan2 kebajikan.






No comments: